HARI INI PENGUATKUASAAN PENGASINGAN SISA DI PUNCA BERMULA

1 JUN 2016 - PENGUATKUASAAN SISA PEPEJAL DIPUNCA BERMULA HARI INI!
Penguatkuasaan ini bertujuan untuk memastikan perlaksanaan inisiatif pengasingan sisa pepejal di punca (SAS) dilaksanakan oleh rakyat Malaysia.
Selain memberi kesedaran tentang memelihara dan menghargai alam sekitar ia juga mendidik masyarakat tentang tanggungjawab yang perlu digalas bagi menjadikan ia sebagai satu amalan dan budaya pada masa akan datang.
Penguatkuasaan yang dilakukan serentak di semua negeri-negeri yang menerima pakai Akta 672 iaitu di Wilayah Persekutuan (Kuala lumpur & Putrajaya), Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis dan Kedah. Ianya melibatkan pemeriksaan kepada 79 buah taman dan hampir 10,742 unit premis serta melibatkan seramai 245 orang anggota penguatkuasaan SWCorp bagi memastikan perlaksanaan pengasingan sisa pepejal dipunca diamalkan.
Hari ini juga, telah berlangsungnya program promosi Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca di kawasan kediaman bertingkat (non landed) yang diadakan di PPR Kampung Limau dan telah dihadiri oleh YB Datuk Abdul Rahman Dahlan, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Semoga penganjuran ini dapat meningkatkan kesedaran orang awam tentang amalan 3R dan mengurangkan sisa pepejal ke tapak pengurusan seterusnya memupuk sikap tanggungjawab dalam memastikan persekitaran yang bersih.
Program pagi ini adalah pemasangan pelekat pengasingan sisa pepejal di punca di kawasan lif kawasan PPR. Secara keseluruhan terdapat sebanyak 535,048 buah kediaman bertingkat di tujuh buah negeri yang menerima pakai akta 672 dan jumlah lif yang akan dipasang pelekat tersebut (dalam fasa ini) sebanyak 592 buah lif.


Comments

Popular Posts